Pelancongan

Di Felda Palong 2 ini, tidak terdapat tempat pelancongan yang menarik untuk dilawati. Namun begitu terdapat beberapa tempat berhampiran yang boleh dilawati antaranya

  1. Jeram Tengkek Batu Kikir terletak hampir 70.1 Kilometer daripada Felda Palong 2

Hutan lipur ini terletak di Hutan Simpan Serting iaitu kira-kira 30 minit dari pekan Batu Kikir. Hutan Dipterokarp Pamah ini kaya dengan pelbagai jenis tumbuhan dan landskap batu-batan yang pelbagai bentuk. Sungai Jempol dan Sungai Tanun mengalir membentuk jeram semulajadi yang sesuai untuk aktiviti berkelah. Disamping itu, di sini juga terdapat perkampungan Orang Asli untuk dilawati

jeram tengkek 2jeram tengkek

 

 

 

2. Teratak Za’ba terletak hampir 49.8 Kilometer dari Felda Palong 2

Hasrat untuk menubuhkan memorial khas untuk Pendeta Za'ba telah lama berada dalam pemikiran Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS), Dato' Seri Utama Tan Sri A. Samad Idris. Bagaimanapun dalam kesibukan waktu, idea itu tertinggal begitu sahaja tetapi dibangkitkan semula pada tahun 1995 sempena satu abad kelahiran Za'ba. Hasrat murni itu disampaikan kepada Y.A.B. Menteri Besar, Dato' Seri Utama Tan Sri Haji Mohd. Isa bin Dato' Haji Abdul Samad dan 'gayung dihulur' disambut baik oleh pucuk pimpinan negeri yang cukup dikenali kerana keprihatinannya terhadap sumbangan tokoh berjasa.

Selain penglibatan langsung Dato' Haji Lillah Haji Yassin (Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan), Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri; usaha ini turut mendapat sokongan Universiti Pendidikan Sultan Idris, Maktab Melayu Kuala Kangsar, Dewan Bahasa dan Pustaka, Arkib Negara Malaysia, Jabatan Muzium dan Antikuiti serta Jabatan Kerja Raya yang dipertanggungjawabkan mengurus pembinaan bangunan yang diberi nama Teratak Za'ba ini.

Akhirnya Teratak Za'ba telah berjaya disiapkan dan telah dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato' Seri Utama Tan Sri Hj. Mohd Isa bin Dato' Hj. Abdul Samad pada 5 Februari 2001. Bermula pada tarikh itu Teratak Za'ba telah dibuka kepada orang ramai sebagai salah satu produk dan kawasan pelancongan yang berunsurkan pendidikan di Negeri Sembilan. Bahan utama bangunan ini diperbuat daripada Kayu Cengkal (penak) dan reka bentuknya masih bercirikan Rumah Tradisional Negeri Sembilan. Antara ciri-ciri pertukangan melayu di bangunan ini ialah Tupai-tupai, Tabir Layar, Kisi-kisi, Anjung Serambi, pelantar dan penyambungannya menggunakan tanggam dan pasak.

zaba

Alamat dan Direktori:-

Teratak Za'ba

Batu Kikir, Jempol

Tel/Fax : 06-498 5193

3. Hutan Lipur De Bana - terletak 55 kilometer dari Felda Palong 2

Hutan Lipur De Bana atau kini telah dikenali sebagai Kem Latihan Khidmat Negara. Hutan Lipur De Bana terletak di kawasan Lui dan sebahagian daripada hutan simpanan Pasoh yang berada di ketinggian lebih kurang 200 meter dari paras laut. Sebaik sahaja pengunjung masuk ke kawasan ini, kita boleh lihat gunung-ganang yang menjadi latar belakang hutan lipur ini. Di sebelah kanannya pula terdapat 'dinding' batu setinggi hampir 5-6 meter merentangi kawasan ini. 

Beberapa buah chalet didirikan di kawasan ini bagi memudahkan pengunjung yang teringin bermalam di sini. Lebih kurang lima minit perjalanan anda akan dapati beberapa buah gerai kecil yang menjual minuman dan makanan didirikan. Anda boleh dengar aliran air yang tenang dan suara kanak-kanak yang sedang leka bermain. Air di sini agak cetek berbanding di bahagian hulu sungai. Namun kawasan ini penuh dengan batuan yang besar dan licin. Jika anda mendaki lebih tinggi lagi, anda akan dapati sebuah bukit yang curam dan telah ditar. Ketinggian dan kecuraman bukit ini memang benar-benar menguji kesabaran pengunjung yang mendaki bukit ini. Kemudiannya di akhir jalan yang telah ditar ini, anda perlu meredah kawasan hutan. Namun segala penat lelah anda akan terbayar, segala titik peluh yang terbuang akan mendapat ganjaran apabila anda tiba di satu kawasan air terjun. 

Air yang mencurah turun melalui 'dinding' batu yang 'berdiri' gagah di belakangnya bagaikan sehelai sutera yang sedang ditiup angin. Bagi individu yang berani, anda bolehlah duduk di bawah air terjun ini dan membiarkan curahan air ini mengurut badan anda yang pastinya telah keletihan dalam perjalanan ke tempat ini. Selain daripada berkelah, anda juga boleh berkhemah dan mendaki untuk aktiviti yang lebih mencabar. Beberapa spesis tumbuhan hutan seperti 'Eurycoma Longifolia' atau lebih dikenali dengan nama Tongkat Ali begitu mudah ditemui di sini. Apapun, bagi pecinta alam dan peminat alam semulajadi pastinya berpuas hati dengan keindahan alam yang ditawarkan di sini. 

download